TIPS MEMBERI ARAHAN BERKESAN KEPADA ANAK ATAU PELAJAR

By August 30, 2017Tips Parenting

Tips Memberi Arahan Berkesan kepada Anak atau Pelajar

 PENDAHULUAN

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ibu bapa, guru yang dirahmati Allah sekalian, apa khabar anda semua?  Moga-moga kita semua berada dalam rahmat dan perlindunganNya, InshaAllah.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah di atas kesempatan masa yang diberikan kepada saya untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang juga datang daripada-NYA yang Maha Mengetahui.

Terima kasih kepada semua yang sedang baca ebook dan setia ikuti ebook Che Mat. Saya harap perkongsian saya ni dapat memberi manfaat kepada anda dan dapat dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak.

Saya Che Mat, inspirator pelajar daripada syarikat Alaf Training penganjur seminar Tapow A. Kami akan berusaha sehabis baik bagaimana ingin membantu anak-anak tuan untuk menjadi pelajar yang soleh dan cemerlang.

Alhamdulillah, dalam ebook kali ni, saya nak kongsikan dengan ibu bapa sekalian tips memberi arahan berkesan kepada anak atau pelajar. Saya akan kongsikan tips ini kepada anda sebab saya faham ramai ibu bapa dan juga guru yang sedang berdepan dengan masalah ni, iaitu anak-anak tidak dapat ikut dan patuh pada arahan yang diberikan.

Anak-anak tidak bertindak terus sebaik saja arahan diberikan. Mereka tidak endah pada peraturan. Ada juga anak-anak yang suka bertangguh-tangguh apabila arahan diberikan.

Apakah sebabnya anak-anak tidak dapat patuh pada arahan? Adakah arahan yang anda berikan tidak berkesan? Ataupun anak-anak sendiri yang tidak dapat ikut arahan?

Jadi, di sini saya nak kongsikan kepada anda tips bagaimana nak beri arahan yang berkesan kepada anak-anak. Supaya mereka dapat buat terus apa yang anda minta. Dan anda tidak akan berasa susah hati apabila anak sudah taat pada arahan anda.

Menurut Perunding Pendidikan Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mahani Razali, sebenarnya bercakap dengan kanak-kanak terutama memberi arahan memerlukan seni yang tertentu dan apabila bercakap janganlah terlalu cepat.

Dr. Mahani turut menasihatkan ibu bapa agar memberi arahan yang jelas serta khusus mengikut tahap umur kanak-kanak tersebut. Bagi anak-anak berusia bawah tiga tahun, beri arahan dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami, sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar guna perkataan lebih tegas dan jelas.

Ibu bapa sekalian, saya akan perkenalkan kepada anda teknik: SEMUT untuk berikan arahan yang berkesan dan efektif kepada anak-anak. Teknik SEMUT ni ialah akronim kepada 3 tips untuk berikan arahan yang berkesan dan efektif kepada anak-anak.

1. SE: SPESIFIK

Anda hendaklah berikan arahan yang jelas, spesifik dan terperinci kepada anak-anak supaya mereka faham, jelas dan nampak apa yang mereka kena buat.

Tapi, kalau arahan yang diberikan tidak jelas dan kabur, mereka tidak faham apa yang sepatutnya mereka kena buat. Dan arahan yang kabur akan menghasilkan tindakan yang kabur.

Saya percaya jika anda berikan arahan yang lebih spesifik dan jelas, InshaAllah arahan itu akan berkesan kepada anak-anak. Mereka akan ikut arahan seperti yang anda minta.

Anda juga akan berasa senang dan tidak perlu beri arahan berulang-ulang kali lagi. Anak-anak akan mudah faham dan nampak apa yang mereka kena buat.

Contoh arahan yang spesifik dan jelas pada anak yang nak membaca ialah:  “Mohamad, ambil buku sains dan baca muka surat 10-15, kemudian mak akan tanya semula apa yang kamu belajar”. Arahan seperti ini akan jadi arahan yang berkesan pada anak dan mereka dapat gambaran apa yang perlu buat.

Saya pernah beri arahan pada anak saya Umar, 5 tahun. Saya selalu ingatkan dia pergi buang air, kalau tidak akan terkucil dalam seluar. Jadi, saya bagi arahan pada dia: “Umar, pergi buang air”. Anak saya tidak layan pun arahan saya.

 Kemudian, saya terangkan pada anak saya satu persatu supaya dia faham apa yang kena buat. Akhirnya, barulah dia faham dan nampak apa yang kena buat malah anak saya dapat buat lebih daripada apa yang saya minta dan harapkan. Jadinya, arahan yang berkesan kepada anak ialah arahan yang jelas dan spesifik dengan detailsnya sekali.

Dan contoh arahan yang kabur ialah seperti: Mohamad, baca buku. Anak-anak tidak dapat ikut arahan yang tidak jelas. Mereka tidak tahu nak baca buku apa, muka surat apa dan sebagainya. Arahan seperti ini tidak efektif pada anak-anak malah mereka biarkan saja arahan yang anda berikan pergi begitu saja. 

Kanak-kanak harus diberitahu dengan jelas kerana otak mereka tidak sama dengan otak dewasa. Bagi arahan yang ringkas dan mudah untuk mereka faham.

2. MU: MUDAHKAN

Ibu bapa sekalian, arahan yang anda berikan mestilah mudah. Anak-anak akan patuh pada arahan yang senang untuk diikuti. Mereka susah nak ikut arahan yang rumit. Anak-anak akan terasa beban pada arahan yang rumit.

Anda terus terang saja pada arahan yang nak diberikan, tidak perlu berleter pada anak. Dan sentiasa bercakap dalam bentuk memberitahu anak-anak apa yang patut dibuat bukan apa yang tidak patut dibuat.

Elakkan juga berkias dengan anak, mereka mungkin tidak faham apa yang anda katakan. Arahan yang anda berikan pada anak mestilah ringkas tanpa libatkan emosi anda, sebaliknya terus pada arahan yang nak disampaikan saja.

Contoh arahan yang mudah pada anak ialah:

  1. Kakak, tolong angkat kain 5 minit je.
  2. Kakak, pergi baca buku 15 minit je, lepas tu buat latihan 15 minit.
  3. Adik, pergi baca Quran 10 minit je.

Arahan-arahan seperti ini mudah bagi anak-anak. Mereka akan rasa ringan dan sekejap saja untuk buat. Dan tidak perlukan masa yang lama pun untuk buat kerja tersebut. Tapi kalau arahan yang rumit contohnya: Kakak, pergi baca buku. Anak-anak akan terasa berat seolah satu buku kena baca.

Secara psikologinya, arahan yang mudah dan ringan menunjukkan kepada perkara yang akan dibuat adalah mudah juga. Tiada orang pun di dunia ni yang sukakan perkara yang berat. Oleh itu, anda mudahkanlah arahan yang nak diberikan pada anak agar mereka berasa senang nak buat perkara tersebut.

3. T: TUNJUKKAN

Ibu bapa sekalian, arahan yang berkesan ialah arahan yang diberikan kepada anak-anak besertakan sekali tunjuk ajar daripada ibu bapa. Anak-anak akan lebih faham pada arahan yang diberikan.

Saya yakin jika anda tunjukkan cara pada anak-anak, InshaAllah mereka akan faham dan buat apa yang anda suruh.

Si anak mungkin tidak bermaksud nak abaikan arahan yang anda berikan. Tapi sebenarnya, mereka berasa sukar nak ikut apa yang anda minta kerana tak tahu caranya.

Contohnya, apabila anda menyuruh anak-anak baca buku, anda juga kena baca buku. Jangan pula anda suruh anak belajar tapi anda pula sibuk menghadap televisyen. Anda mesti sokong apa jua yang anak-anak lakukan.

Ibu bapa sekalian, anak-anak akan jadikan anda sebagai role model mereka kerana kalianlah ibu bapa mereka dan yang paling dekat dengan anak-anak. Sekiranya anak-anak tak tahu cara nak lipat kain, contohnya, anda tunjukkan cara nak lipat kain sampai anak faham.

Untuk makluman anda, 80% pendidikan ialah melalui teladan, 20% melalui kata-kata. Anak-anak lebih percaya dan ikut apa yang mereka nampak berbanding apa yang anda cakap atau suruh. Saya percaya ibu bapa adalah model terbaik dalam apa-apa jua perkara pada mata anak-anak. Mereka akan menyerap dan meniru secara tidak langsung setiap apa yang lakukan ibu bapa mereka.

Mohd Fadzilah Kamsah (2005) mengatakan ibu bapa yang cemerlang sahsiah diri bertindak sebagai contoh dan ikutan kepada anak-anak. Perlu diketahui bahawa anak-anak tidak belajar daripada apa yang orang tua mereka tutur atau cakapkan sebaliknya mereka banyak mempelajari sesuatu yang bersifat baharu dengan melihat kepada ibu bapa mereka lakukan.

Justeru, amalan dan tindakan berupa perkataan atau perbuatan ibu bapa merupakan cara terbaik untuk membentuk anak-anak sebagai orang yang taat kepada agama dan berakhlak mulia. Ibu bapa yang mithali sentiasa menggerakkan anak-anaknya untuk menjadi cemerlang.

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood ada menyatakan: “Anak-anak merupakan dominan terhadap ibu bapa, guru dan juga para selebriti. Namun paling penting ialah ibu bapanya kerana pendidikan awal bermula dari rumah. Pendek kata apa saja yang dilakukan oleh si ibu mahu diturutinya.

Anda adalah contoh utama dan pertama yang akan diikuti oleh anak-anak. Perbuatan dan perbualan anda perlu seiring dan sejalan dengan apa yang anda mahukan dari anak-anak.

Sabda Rasul S.A.W “Ajarilah anak-anak kamu dan keluarga kamu kebaikan dan lengkapkanlah mereka dengan adab susila.” Riwayat Abd Razzak dan Said Mansur.

 Alhamdulillah, moga ada manfaat daripada ebook ni yang boleh kita ambil untuk dijadikan panduan dalam hidup dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah dan berjaya di dunia dan akhirat, amin.