PETUA ANAK MUDAH MENDENGAR KATA (SURAH LUQMAN)

By August 29, 2017Tips Parenting

PETUA ANAK MUDAH MENDENGAR KATA (SURAH LUQMAN)

PENDAHULUAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah di atas kesempatan masa yang diberikan kepada saya untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang juga datang daripada-NYA yang Maha Mengetahui.

Terima kasih tuan puan kerana sudi meluangkan masa untuk membaca ebook pada kali ini. Saya Che Mat, inspirator pelajar daripada syarikat Alaf Training penganjur seminar Tapow A. Kami akan berusaha sehabis baik membantu anda bagaimana ingin membantu anak-anak tuan untuk menjadi pelajar yang soleh dan cemerlang.

Alhamdulillah, dalam ebook kali ni, Che Mat nak kongsi petua dan rahsia bagaimana membuatkan anak mudah mendengar kata. Saya yakin ramai ibu bapa yang berhadapan dengan situasi susah nak membuatkan anak dengar kata.

Anda mesti pernah rasa penat dan marah kalau anak-anak tak dengar nasihat anda. Rasa geram sangat apabila anak-anak tak nak dengar cakap kita. Kita nasihatkan anak-anak supaya mereka jadi anak yang baik, bukannya tiada sebab, tapi kenapa dan mengapa mereka tak nak dengar cakap kita?  

Jadi, ibubapa harus tegas dalam mendidik anak dan jangan sesekali menggunakan kekerasan. Selain itu, ibubapa harus tahu bagaimana untuk berlembut dengan anak tanpa menunjukkan kelemahan. Ibu bapa haruslah bertegas tetapi masih menerapkan nilai kasih sayang. Ada sesetengah perkara perlu kita katakan “tidak” kepada mereka agar mereka membesar menjadi anak yang mendengar kata.     

Ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian, adakah cara kita didik anak tidak tepat ataupun anak-anak itu sendiri yang tak mahu dengar cakap kita? Jadi, apakah ada petua yang anda boleh amalkan untuk pastikan anak mudah mendengar kata, sama ada untuk anak kecil, kanak-kanak dan remaja?

Dari mana kita nak dapat kaedah parenting ni? Sudah tentulah sumber parenting ni daripada Al-Quran. Segala teknik yang ada di muka bumi ini, pertamanya mestilah bersandarkan kepada Quran. Segala panduan telah terkandung di Quran sebagai rujukan kita hidup di dunia ini.

Jadi, apa rujukan kita untuk teknik parenting ni? Kita boleh rujuk dekat surah terbaik untuk parenting iaitu Surah Luqman ayat 12.

Maksudnya dan sesungguhnya telah kami berikan hikmah kepada Luqman, maka kerana itu Luqman mestilah bersyukur kepada Allah. Kerana siapa yang bersyukur, dia akan dapat kebaikan dan siapa yang kufur (kepada Allah), Allah tiada masalah kerana Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.

Untuk pengetahuan semua, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mengenai keturunan dan kerjaya Luqman semasa beliau hidup. Adakah beliau seorang Nabi atau orang bijaksana? Majoriti ulama’ berpendapat beliau adalah orang bijaksana dan bukannya Nabi.

Untuk pengetahuan semua, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mengenai keturunan dan kerjaya Luqman semasa beliau hidup. Adakah beliau seorang Nabi atau orang bijaksana? Majoriti ulama’ berpendapat beliau adalah orang bijaksana dan bukannya Nabi.

Ibu bapa sekalian, sebelum Allah menceritakan apa nasihat yang Luqman beri kepada anak-anak, Allah ceritakan terlebih dahulu peribadi dan karakter Luqman iaitu:

  1. Hikmah: iaitu kebijaksanaan, akal, kefahaman dan kecerdasan yang Allah kurniakan kepada Luqman.
  2. Bersyukur atas kurniaan Allah. Apabila Luqman dapat hikmah, dia bersyukur.

Ibu bapa berhikmah

Pentingnya ibu bapa yang ada hikmah ialah mereka dapat mendidik anak dengan baik. Anak-anak akan dengar cakap anda bila anda bijak menguruskan anak-anak. Apa petua yang boleh ibu bapa amalkan supaya anak mudah dengar cakap, supaya anak faham apa yang kita kata dan ikut apa yang kita sarankan kepada dia?

Petua pertama yang saya nak kongsikan untuk membuatkan anak mudah dengar kata kita ialah ibu bapa mesti ada hikmah dalam mendidik anak. Anda mesti bijak dalam mendidik anak. Jadi apa yang ibu bapa mesti lakukan?

Bersahabatlah dengan anak-anak ketika mereka meningkat remaja kerana usia begini mereka sedang mencari-cari identiti diri. Mereka mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang lebih menyeronokkan.

Anak-anak sekarang lebih advance dan semakin bijak daripada ibu bapa. Mereka lebih berani bertindak daripada ibu bapa mereka sendiri. Jadi, anda perlu berubah seiring peredaran zaman agar didikan kepada anak sesuai dan lebih dekat dengan jiwa mereka.

Ibu bapa sekalian, bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anak? Beliau mendidik anak dengan panggilan yang penuh kasih sayang. Beliau berikan nasihat pada anaknya dengan penuh hikmah dan lontarkan analogi bagi membimbing anak untuk berfikir.  

Beliau juga bijak mengatur kata-kata dalam membangunkan kefahaman dan jiwa si permata hati. Ibu bapa mesti bijak gunakan bahasa yang sesuai dengan umur anak agar anak faham dan tak salah tafsir apa yang anda sampaikan. 

Hikmah adalah ketepatan dalam berbicara, ketepatan dalam berfikir, dan ketepatan dalam bertindak. Ciri-ciri ibu bapa yang ada hikmah ialah:

  • Sentiasa bersabar dan berfikiran positif
  • Selalu bergurau, buat lawak dan ketawa bersama
  • Tanamkan sifat bersimpati pada orang lain
  • Biarkan anak berdikari
  • Elakkan bergaduh di hadapan anak
  • Jaga kesihatan, elakkan tekanan
  • Biarkan anak ‘melawan’: iaitu biarkan mereka pertahankan pendapat mereka sendiri
  • Usah berharap kepada anak yang sempurna
  • Fahami kehendak anak

Penyelidik bernama Liliana Lengua dari University of Washington mengatakan ibu bapa perlu menyokong kehendak anak berdasarkan permintaan mereka.

Saya percaya, ibu bapa yang ada hikmah, anak-anak akan mudah faham dan patuh pada arahan kita. Jadi, ulama’ ada letakkan panduan bagaimana cara kita nak mencapai hikmah.

1. Beramal dengan ilmu

Siapa yang beramal dengan ilmu, dia dapat hikmah. Tapi, siapa yang tak beramal dengan ilmu, dia tidak dapat hikmah.

Hikmah bersyukur hanya dapat bila kita bersyukur. Hikmah solat hanya dapat setelah kita solat. Hikmah sabar hanya dapat bila kita sabar.

Imam Ghazali berkata: ” Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia.

2. Diperolehi melalui ujian yang ditimpakan kepada kita.

Saya percaya setiap ujian itu pasti ada ilmu dan pengajarannya yang boleh anda dapat. Anda juga boleh dapat pengalaman yang baru. Jadi, anda boleh manfaatkan ilmu tersebut untuk didik anak dengan cara yang terbaik.  Menghadapi ujian menjadikan ibu bapa berpengalaman untuk teruskan kehidupan dalam mendidik anak.

Kelebihan ibu bapa yang ada hikmah:

1. Melihat potensi anak

Ibu bapa yang bijak ialah mereka yang nampak kebolehan anak-anak dan tahu potensi mereka ke arah mana. Anda mesti dapat kenalpasti kebolehan anak-anak anda jika adanya hikmah dalam diri.    

Tetapi, jika ibu bapa yang tiada hikmah dalam diri mereka, mereka hanyalah nampak keburukan dan masalah dalam diri anak mereka. Mereka tidak nampak bakat dan kebolehan anak.

Ibu bapalah yang lebih arif apa potensi anak-anak berbanding guru sebab ibu bapa banyak luangkan masa dan rapat dengan anak-anak.

2. Bersabar dengan karenah anak

Ibu bapa dan guru yang ada hikmah, mereka akan mendidik anak-anak dengan sabar dan tenang. Ibu bapa dan guru yang bijak ialah mereka yang dapat mengawal perasaan terhadap anak-anak. Orang yang ada hikmah ialah orang yang dapat fikir secara rasional dan tidak ikut hawa nafsu semata-mata.

 Kalau anak-anak buat salah sekalipun, anda kena sabar, tarik nafas dan cuba fikir positif. Kita juga pernah jadi remaja sama seperti mereka yang sukakan benda baru dan mencabar. Sudah menjadi lumrah anak-anak untuk berkelakuan seperti remaja.

Kerana pelbagai ragam anak yang kita kena hadapi sekarang sebab zaman pun dah berbeza. Saya yakin perangai anak juga berbeza mengikut jantina dan umur. Kanak-kanak lain ragamnya manakala remaja pula lain perangainya. 

Tapi, ibu bapa dan guru yg tidak ada hikmah, pendidikan akan menjadi serabut dan tidak berkesan. Mereka akan berasa beban dan sukar untuk mendidik anak-anak.

Saya percaya mendidik anak adalah proses yang berterusan. Jangan mengharapkan perubahan yang mendadak dalam diri anak. Sebagai pendidik, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi.

Anak-anak kini lebih sensitif. Jika sikap anak membimbangkan anda, maka segeralah berbincang umpama perbincangan kawan dengan kawannya yang lain. Tujuannya supaya anak-anak berasa selesa dan tidak takut untuk meluahkan masalah dan rahsia mereka.

3. Mendidik anak dengan kasih sayang

Ibu bapa yang ada hikmah akan mendidik anak dengan lembut dan kasih sayang bukannya dengan kekasaran ataupun menengking anak. Anak-anak itu amanah Tuhan, jadi takkan kita nak sia-siakan anugerah Tuhan ini?

Kekasaran pada anak akan menambahkan lagi kebencian anak pada ibu bapa. Kasih sayang sangat penting sebab dengannya kita boleh menerima kekurangan anak-anak.  

Seperti Luqman, beliau melihat anaknya dengan pandangan yang penuh kasih sayang agar si anak tidak jatuh ke dalam jurang kesesatan dan penyelewengan.

4. Mendidik anak dengan tegas

Ibu bapa yang ada hikmah, mereka akan mendidik anak dengan tegas dan bukannya dengan marah. Marah akan membuatkan ibu bapa dan anak-anak stress. Anda cuma dapat penat saja bila anda marah dan tak akan dapat selesaikan masalah.

Anak-anak mesti suka kalau ibu bapa mereka tegas dan bukannya pemarah. Kita boleh kenal antara ibu bapa yang tegas dan pemarah.

5. Nasihat anak dari hati ke hati

Penggunaan kata-kata yang sarat dengan makna dan hikmah akan menyentuh hati anak-anak. Nasihat yang kita berikan akan terkesan di hati mereka dan mereka akan buat apa yang kita suruh.

Elakkan daripada meninggi suara ketika nasihatkan anak dan elakkan memarahi anak di hadapan adik-beradik yang lain. Mereka mesti berasa malu dengan adik-beradik yang lain jika dimarahi ibu bapa.

Ibu bapa perlu menyelami jiwa dan perasaan anak-anak. Anda perlu ada sedikit rasa dan sikap terbuka serta memahami kehendak anak-anak supaya mereka tidak tertekan dan berasa selesa untuk menceritakan segala masalah yang dihadapi.

Yakinlah duhai ibu bapa, bimbingan dan nasihat yang ikhlas jika disampaikan melalui jiwa yang bersih dan hati yang jujur, nescaya ia mudah diterima. Malah, ia akan memberi kesan ke dalam jiwa anak yang mendengarnya.

Titipkanlah doa, nasihat dan peringatan buat anak-anak tanpa jemu. Mungkin hari ini mereka belum berubah, namun yakinlah…Allah s.w.t tidak akan menghampakan harapan hambanya yang berdoa.

Ibu Bapa Bersyukur

 

Allah menjelaskan dalam Surah Luqman ayat 12 yang bermaksud,”…bersyukurlah kepada Allah…

Maksudnya, Allah perintah untuk bersyukur kepadaNya atas apa yang Allah kurniakan kepada hambanya. Bersyukur adalah menjadikan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada seorang hamba itu untuk beribadah kepadaNya.

Ibu bapa sekalian, bagaimana nak bersyukur?

  1. Tidak melakukan maksiat kepada Allah dengan menggunakan segala nikmat yang diberikannya.
  2. Tidak melihat sekutu bersama Allah dalam setiap kenikmatan.
  3. Menggunakan nikmat yang diberikan untuk beribadah kepadaNya.

Prinsip bersyukur

  1. Ketaatan seseorang yang bersyukur kepada Allah
  2. Cinta kepadaNya
  3. Pengakuan ke atas kenikmatannya
  4. Pujian di atas nikmat-nikmat yang diberikan
  5. Tidak mempergunakan nikmat-nikmat itu bagi perkara yang dibenci olehNya.

Manfaat Bersyukur

  1. Memperoleh tambahan nikmat
  2. Memperoleh nikmat syurga yang kekal

Ibu bapa boleh amalkan doa ini untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran.

Baca doa ini 19 kali pada air dan minta anak untuk minum. InshaAllah perangai anak yang degil akan berubah menjadi baik dengan izinNya.

Boleh juga baca doa ini pada ubun-ubun anak ketika dia tidur.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Semoga kita semua peroleh manfaat daripada ebook kali ini dan dapat dijadikan panduan dalam hidup dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah, amin.