Pelajar Ini Kongsi Amalan Tidur Sekejap Di Siang Hari Sebagai Resipi Kejayaan

By March 13, 2019Tips Pelajar Cemerlang
Amalan tidur singkat di siang hari 'resepi' kejayaan pelajar cemerlang STPM

Pelajar Cemerlang SPM Kah Yee – Foto Sumber BERNAMA

 

Keputusan STPM baru sahaja diumumkan beberapa hari lalu. Berita melaporkan keseluruhan pencapaian STPM 2018 meningkat. Tahniah pada semua calon STPM sama ada yang berjaya atau belum. Kalau berjaya jangan selesa, kalau gagal jangan putus asa. Kuan Kah Yee berkongsi petua kejaayan cemerlang dalam STPM 2018, antaranya menjadikan tidur singkat di siang hari sebagai amalan.

Astro Awani melaporkan :

“Pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Padawan ini mendedahkan tidur sebentar di siang hari membolehkan beliau memberi tumpuan yang lebih semasa membuat ulang kaji pada malam hari kerana mendapat rehat yang cukup”

Beliau memperoleh keputusan cemerlang empat A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

“Senior saya sering beritahu saya Tingkatan Enam sangat sukar dan banyak cabaran. Saya tidak sangka dapat melakukannya. Ibu bapa saya bekerja di kedai kopi, galakkan saya untuk teruskan pengajian walaupun pendapatan mereka tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Isnin, yang bercita-cita mahu memegang jawatan pengurus bank.

Apakah Tidur Siang Amalan Yang Bagus?

Sebenarnya banyak sarjana telah mengkaji berkenaan tidur siang atau power nap. Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti buku ‘The Art of Napping at Work’ karya Anthony dan Anthony, ‘Sleep and Alertness: Chrono-biological, Behavioural and Medical Aspects of Napping’ oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya. Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Bahkan tidur siang juga merupakan sunnah Muhammad dan amalan yang diiktiraf dalam Al-Quran. Firman Allah dalm surah Ar-Rum ayat 23 :

وَمِنْ آَيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

“Dan di antara tanda-tanda KemurahanNya dan Kasih SayangNya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari, dan usahamu mencari sebahagian dari KurniaNya. Sesungguhnya pada hal yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).”

Bilakah Waktu Terbaik Untuk Tidur Siang (Qailullah).

Waktu Qailullah (tidur siang) adalah selama beberapa minit sebelum masuk waktu solat Zuhur atau selepas makan tengahari hingga awal Asar iaitu dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit sahaja . Waktu paling afdhalnya ialah dalam tempoh setengah jam sebelum masuk waktu solat Zuhur..

Imam Muslim menyatakan bahawa “Yang dimaksudkan dengan ‘Qailullah’ adalah tidur di pertengahan hari.”

Manakala al-Hafizh Ibnu Hajar pula berkata, “Qailullah adalah tidur di tengah siang, iaitu ketika matahari tergelincir ke barat, dan beberapa waktu sebelum atau sesudahnya.” (Fath al-Bari [11/79]).