3 TEKNIK MENGURANGKAN KETAGIHAN GAJET PADA ANAK

By August 1, 2017Tips Parenting

3 TEKNIK MENGURANGKAN KETAGIHAN GAJET PADA ANAK

PENDAHULUAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah di atas kesempatan masa yang diberikan kepada saya untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang juga datang daripada-NYA yang Maha Mengetahui.

Sebenarnya ebook ini ditulis setelah saya melalui dunia pembangunan manusia selama lebih dari 7 tahun. Dan alhamdulillah, banyak pengalaman yang saya dapat sepanjang tempoh tersebut.

Buat pengetahuan semua, saya biasa berdepan dengan ibu bapa yang ada masalah anak-anak mereka tentang gejala ketagihan gajet yang semakin hari semakin membimbangkan ibu bapa kerana banyak terdedah kepada pengaruh dunia luar.

Penggunaan gajet terdapat kebaikan dan keburukannya. Jika kita menggunakan gajet dengan berdisiplin, kita akan dapat mengawal diri kita daripada ketagihan untuk menggunakannya.

Tetapi jika kita obses untuk menggunakannya, ini yang akan menyebabkan kita ketagih untuk menggunakan gajet.

Maka, penerbitan Ebook: Teknik Mengurangkan Ketagihan Gajet Pada Anak-Anak ini merupakan buah tangan daripada pihak Alaf Training kepada anda.

Dan ebook ini juga merupakan teknik yang berkesan yang boleh kita amalkan agar gejala ketagihan gajet ini dapat dikurangkan. Insyaallah.

Dan di peringkat saya tidak boleh menjanjikan apa-apa yang lebih baik melainkan kita usaha terlebih dahulu bagi membendung gejala ini daripada berleluasa. Semua hasil serahkan kepada yang berhak menilai iaitu Allah SWT.

Dan harapan pihak saya semestinya lebih daripada itu agar ilmu ini diamalkan bersama dan disebarluaskan kepada orang lain. Kerana sepanjang saya berceramah, manfaat ilmu itu tidak berkembang.

Hanya yang sempat mendengar ceramah sahaja mendapat manfaat. Oleh sebab itu, saya merasakan cara yang terbaik adalah dengan membukukan ilmu ini melalui penulisan.

Insyaallah. Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. Amin.

 

1) UNDANG-UNDANG PENGGUNAAN GAJET

 

 Ibu bapa sekalian, point pertama saya ialah membuat undang-undang tentang penggunaan gajet. Antara ciri-ciri undang-undang yang boleh kita buat ialah:

  1. Secara bertulis. Ini kerana undang-undang bertulis lebih kuat dan jelas.
  2. Undang-undang yang dibuat mestilah dipatuhi.
  3. Undang-undang juga menuntut komitmen ibu bapa untuk mematuhinya bersama agar anak-anak berasa adil tentang perlaksanaan undang-undang tersebut.

Contoh undang-undang yang boleh dilaksanakan ialah:

  • Anak-anak tidak boleh tidur bersama dengan gajet pada waktu malam.

Anak-anak mesti serahkan gajet sebelum tidur kepada ibu bapa atau simpankan dalam bakul khas. Dan pada keesokan paginya akan diserahkan semula gajet tersebut.

Kaedah ini dapat menyelamatkan anak-anak daripada terus leka menggunakan gajet kerana ibu bapa tidak boleh mengawal anak-anak sebelum tidur.

Jika kita tidak ambil gajet anak-anak, kita seolah memberi peluang kepada mereka untuk terus menggunakan gajet sebelum tidur.

  •  Ibu bapa juga diharamkan untuk menggunakan gajet ketika bersama anak-anak.

Kita hanya boleh menggunakan gajet setelah anak-anak tidur atau ketika waktu kerja. Ibu bapa mestilah mencuba untuk mengelakkan daripada menyentuh gajet lebih-lebih lagi apabila anak pulang dari sekolah dan meluangkan masa tersebut bersama anak-anak.

  • Maklumkan pada anak-anak bahawa gajet adalah bahan larangan dan bukannya boleh digunakan sepanjang masa dan di mana sahaja.

Ini bermakna jika anak-anak hendak menggunakannya, mereka perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada ibu bapa. Jika anak-anak tidak meminta izin, ibu bapa mesti menggunakan kuasanya untuk merampas gajet tersebut.

  • Tetapkan masa penggunaan gajet untuk anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak hanya boleh menggunakan gajet pada hujung minggu pada jam 2-3 dan 9-10.

Ibu bapa tidak boleh menghalang terus anak-anak daripada menggunakan gajet tetapi mereka masih boleh mengawal anak-anak daripada ketagihan menggunakan gajet kerana anak-anak juga ingin bermain facebook bersama rakan-rakan.

  • Penggunaan gajet hanya di hadapan ibu bapa dan sentiasa dalam pengawasan ibu bapa supaya ibu bapa dapat memerhati setiap pergerakan anak-anak. Anak-anak tidak boleh bermain telefon di dalam bilik.
  • Ibu bapa boleh buka gajet anak-anak pada bila-bila masa.

Bagi anak-anak yang ketagih untuk menggunakan gajet, undang-undang ini mungkin menjadi kejutan budaya dan sukar untuk diikuti.

Jadi Ibu bapa seharusnya memberi satu tempoh masa sebelum undang-undang ini diperkenalkan agar mereka dapat menerima dan seterusnya mematuhi undang-undang ini.

2) ALIHKAN PERHATIAN

 

Ibu bapa boleh alihkan perhatian anak-anak daripada menggunakan gajet kepada:

  • Bermain permainan seperti robot, lego, puzzle, pensel warna bagi kanak-kanak.
  • Bagi remaja pula, ibu bapa boleh sediakan permainan yang bersesuaian dengan remaja dan bermain bersama-sama mereka seperti Saidina, Cashflow, Sahiba, Carrom, Uno, Monopoly, buku-buku cerita ataupun Ilmiah.

Kelebihan mainan-mainan ini ialah dapat mengasah minda anak-anak, cara berfikir, meningkatkan kemahiran membuat keputusan dan boleh membantu kemahiran bersosial.

 

  • Membawa anak-anak untuk menyertai aktiviti-aktiviti luar seperti berjoging, berenang, berbasikal, mendaki bukit, memancing, pergi ke gym, bermain skateboard atau rollerblade.

Kelebihan aktiviti-aktiviti luar ini ialah lebih fizikal, dapat merangsang psikomotor dan minda anak-anak dan dapat membantu anak untuk bersosial.  Ibu bapa juga boleh mengadakan usrah bersama anak-anak. 

3) SEDIAKAN GANJARAN/HUKUMAN

 

Dan akhir sekali ialah ibu bapa boleh sediakan ganjaran kepada anak-anak jika mereka mematuhi undang-undang dan kenakan hukuman pada mereka jika mereka melanggari undang-undang tentang penggunaan gajet.

Contoh ganjaran kepada anak-anak sekiranya mematuhi undang-undang: membawa anak-anak pergi bersiar-siar atau pergi makan. Jika anak-anak ingin mendapatkan ganjaran tersebut, mereka mestilah mematuhi peraturan barulah mereka akan mendapat ganjaran tersebut.

Hukuman kepada anak-anak sekiranya melanggari undang-undang:

  1. Ibu bapa perlulah mengetatkan lagi undang-undang seperti mengehadkan lagi tempoh penggunaan gajet.
  2. Ibu bapa juga boleh mengambil gajet anak-anak
  3. Kenakan penalti pada mereka seperti tidak boleh menggunakan gajet dalam tempoh dua hari.
  4. Hukuman juga boleh bersifat kerohanian seperti berzikir, membaca al-Quran.

Ibu bapa mestilah tegas dalam perlaksanaan undang-undang, maknanya anak-anak mestilah mempraktikkan undang-undang tersebut di mana-mana sahaja mereka berada.

Terdapat dalam kalangan ibu bapa yang tidak tegas dalam perlaksanaan undang-undang seperti undang-undang pada waktu tidur anak-anak kebiasaannya ialah pada jam 10.30 malam akan tetapi apabila pulang ke kampung, semuanya tidur pada jam 1 pagi.

Hal ini yang menyebabkan anak-anak tidak patuhi pada undang-undang kerana ibu bapa tidak tegas dalam mempraktikkan undang-undang di mana sahaja mereka berada.

Terima kasih kepada anda kerana membaca penulisan ini. Moga ianya bermanfaat kepada anda dan jangan lupa kongsikan tips ini pada yg lain. Nantikan perkongsian saya yg seterusnya. 

Author tapowa

More posts by tapowa

Leave a Reply